Sunday, November 15, 2009

IHTIFAL PASTI ALHIDAYAH JAYA GADING


PELAJAR PASTI 5 TAHUN KHATAM AL-QURAN

(Dari blog pas jaya gading kuantan)

PASTI Al Hidayah Jaya Gading alhamdulillah telah sempurna mengadakan Majlis Ihtifalnya pada hari ini dengan dirasmikan oleh Ust Fadhil Nor bin Ab karim, Penyelaras PASTI Negeri merangkap Ketua DPP Kawasan Pekan.

Majlis yang diadakan secara sederhana namun meriah ini telah menonjolkan bakat-bakat anak-anak pelajar PASTI hasil dari didikkan berlandaskan kefahaman dan hafalan keislaman.

Majlis juga telah diserikan dengan persembahan nasyid,hafalan hadith dan pantun yang cukup untuk mencuit hati hadirin akan betapa pintarnya para pelajar PASTI.

Majlis penyampaian sijil dan hadiah kepada semua pelajar PASTI 6,5 dan 4 tahun telah diempurnakan oleh Ust Fadhil Nor.

Hadiah untuk kategori kebersihan dan kedatangan juga turut diberikan.

Pemenang bagi kategori kebersihan adalah :

* Pelajar 6 tahun - Adik Siti Khadijah bt Ramli
* Pelajar 5 tahun - Adik Nurul Najihah bt Mat Teni
* Pelajar 4 tahun - Adik Muhammad Azfar bin Mazlan

Manakala untuk kategori kehadiran dimenangi oleh :

* Pelajar 6 tahun - Adik Muhammad Farhan bin Khairudin
* Pelajar 5 tahun - Adik Che Muhammad Adam Adha bin Che Amran
* Pelajar 4 tahun - Adik Aida Mawaddah bt Zol Kefely



Antara hasil yang amat membanggakan bagi PASTI Al Hidayah ialah kejayaan pelajar-
pelajarnya didalam menguasai pembacaan Al Quraan.Antara pelajar yang cukup memberansangkan pencapaiannya didalam bacaan Al Quraan adalah Adik Durrah bt Khairul Azmi (Gambar di atas) yang telah pun khatam Al Quran di dalam usianya baru 5 tahun.



Ini adalah meerupakan kejayaan yang amat memberangsangkan dan tentu sahaja PASTI Al Hidayah amat berbangga dengan Adik Durrah yang juga telah mampu menguasai bacaan jawi dan rumi dengan baik. Beliau juga merupakan pelajar yang menduduki tempat pertama di dalam peperiksaan akhir tahun di pasti ini. Adik Durrah adalah merupakan anak kepada Ketua Pemuda PAS Kawasan Maran, Ust Khairul Azmi Al Muqry yang juga merupakan Mudir Pondok Tahfiz Darul Fikri.

Majlis diakhiri dengan sedikit jamuan ringan untuk semua tetamu dan pelajar-pelajar.

Ulasan Al-Muqry:
Jutaan terima kasih kpd pihak pasti Alhidayah kerana berjaya mendidik anak-anak kami denagn jayanya, semoga Allah memberi ganjaran yang berlipat ganda di atas usaha ini.

Monday, November 2, 2009

2 BERADIK BERJAYA TAMATKAN HAFALAN 30 JUZUK.



Syukur Alhamdulillah dipanjatkan kepada Allah kerana pada bulan Oktober lepas Darul Fikri sekali lagi berjaya melahirkan penghafaz Al-Quran, cuma pada kali ini ada sedikit keistimewaan berbanding dengan yang telah lepas, iaitu pada kali ini dua beradik berjaya menamatkan hafalan serentak dalam bulan yang sama. Beliau ialah AHMAD SYAFIQ BIN MOHD SUHAIMI (17 THN) dan AHMAD SYAHIR AMIN BIN SUHAIMI (15 TAHUN), kedua-duanya berasal dari Kemaman Terengganu, bapanya salah seorang tenaga pengajar (ustaz) di ‘pusat pengajian taman Islam Terengganu’.

Pihak Darul Fikri mengucapkan tahniah kepada kedua-duanya dan juga keluarganya yang berjaya menanamkan roh Al-Quran kedalam jiwa anaknya sejak kecil lagi. Semoga ke duanya dapat megorak langkah ke hadapan dalam menimba ilmu yang sangat luas dan menjadi pembela dan pejuang kepada agama Allah satu hari nanti.

TERIMA KASIH PASTI

Setelah saya menulis artikel berkaitan hadis palsu di dalam teks pasti ada beberapa respon dari sahabat dan juga pihak media di antaranya 'malaysiakini' telah menghubungi saya dan telah membuat laporan seperti berikut pada 26 okt 2009 yang lalu:

"(PAS akan buang hadis palsu dalam teks prasekolah


Jabatan pendidikan prasekolah PAS akan membuang satu hadis yang didakwa palsu dalam buku teks kanak-kanak enam tahun dalam edisi baru, seawal-awalnya diterbit pada 2011, kata seorang pegawainya.

Jabatan itu yang mengurus Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) akan mengeluarkan buku teks baru untuk murid tahap dua, kata setiausaha eksekutifnya Kamarul Arif Ambak.

PASTI masih lagi menggunakan buku Pelajaran Al-Quran – yang didakwa menyiarkan hadis palsu itu – cetakan tahun 2005.

"Sudah lama timbul isu ini, kita sudah bincang tiga, empat tahun lepas kerana masih ada yang berpandangan ia boleh dipakai.

"Kita masih belum tukar versi baru. Kita ambil perhatian, kita tidak mahu ada perbezaan pandangan sehingga menjadi perbalahan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan seorang ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pahang di blog peribadinya, Selasa lalu.

Khairul Azmi Ismail mendedahkan, hadis berbunyi "hubbul watan minal iman" atau maksudnya "mencintai tanah air itu sebahagian daripada iman" diletakkan di halaman 37 teks tersebut.

"Sebenarnya ia bukanlah hadis yang sahih atau hasan (boleh disebarkan) malahan dhaif (lemah) pun bukan, bahkan ia merupakan hadis yang palsu yang tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam silibus anak-anak kita," katanya.

Selepas merujuk beberapa sumber ulama, beliau menyimpulkan bahawa "hadis ini memang jelas kepalsuannya, sehinggakan para ulama hadis tidak menjumpainya di mana-mana kitab pun dan tidak diketahui siapakah perawinya" dan "hadis palsu haram diajarkan melainkan untuk memberitahu kepalsuannya".

Khairul Azmi menggesa penyusun sukatan pelajaran PASTI membuat penelitian semula dan penambahbaikan terhadap teks-teks rujukan murid supaya kesilapan seumpama ini tidak berulang.

Menurut Kamarul Arif lagi, Jabatan PASTI PAS pada asalnya bercadang menerbitkan edisi baru buku teks itu tahun ini tetapi gagal kerana ia masih di peringkat penyusunan dan reka letak buku tersebut.

Tambahnya, kedua-dua proses tersebut "memerlukan masa yang agak panjang".)"

Komen saya:
1. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak pasti kerana sanggup menerima teguran walaupun mungkin saya tersilap saluran.
2. Ini jelas menunjukkan ketelusan PASTI (yg diuruskan oleh pemuda PAS) dalam menjalankan amanah pendidikan, disamping jasa-jasa yang lain yang tidak terhingga kepada pendidikan negara.

Semoga pasti terus mengorak langkah ke hadapan dan terus menjadi contoh kepada tadika-tadika yang lain (skrg dah byk tadika atau pra sekolah meniru dan mengambil sebhagian dari silibus pasti).

Tuesday, October 20, 2009

HADIS PALSU DALAM BUKU TEKS PASTI

(BAB CINTAKAN TANAHAIR)

Disebut dalam buku teks pasti PELAJARAN AL-QURAN tahap 2 (6 tahun), Ms 37 :

(" Hadis ketiga CINTAKAN TANAHAIR

حب الوطن من الإيمان

Maksudnya " Cintailah tanahair itu sebagian daripada Iman" )

Begitulah apa yang disebut di dalam buku tersebut. Sebenarnya ia bukanlah hadis yang sahih atau hasan malahan dhaif pun bukan, bahkan ia merupakan hadis yang palsu yang tidak sepatutnya dimasukkan kedalam silibus anak-anak kita.


Syeikh Al-Muhaddith Ismail Al-Ajluny (wafat tahun 1162 h) di dalam "Kasyful Khafa' " (Jilid 1 MS 345) menukilkan kata-kata ulama hadis berkaitan dengannya:

1) Imam As Shoghoni (salah seorang ulama yg mengarang khusus tentang hadis palsu) menghukmnya PALSU,

2) Imam As-Sakhawi di dalam kitabnya "Al-Maqasid (Al-Hasanah) menyatakan: Aku tidak berjumpa dengannya, tetapi maksudnya betul

3) Imam (Mulla Ali) Al-Qary menolak dakwaan As –Sakhawi tentang "maksudnya betul" bahawa tidak ada 'talazum' (kaitan yang kuat) di antara cintakan tanahair dan Iman, kerana ada ayat yang menyatakan bahawa Allah mencela orang-orang munafiq kerana tidak keluar berjihad disebabkan KASIHNYA KEPADA TANAHAIR.

Hadis ini juga disebut di dalam kitab "Tahzirul Muslimin Minal Ahadith Al-Maudhuah 'Ala Sayyidil Mursalin" (Peringatan kepada muslimin daripada hadis-hadis dipalsukan kepada Penghulu Rasul) karangan Syeikh Muhammad bin Al-Basyir Zhofir Al-Azhary (meninggal 1329 h) (MS 133, Hadis No: 116)

Kesimpulan:
1. Hadis ini memang jelas KEPALSUANNYA, sehinggakan para ulama hadis tidak menjumpainya di mana-mana kitab pun dan tidak diketahui siapakah perawinya.
2. Hadis PALSU tidak boleh (HARAM) diriwayatkan atau diajarkan melainkan untuk memberitahu kepalsuannya.

Cadangan:
Pihak yang bertanggungjawab menyusun silibus PASTI perlu membuat penelitian semula dan penambahbaikan di dalam buku-buku teks, supaya kesilapan seumpama ini tidak berulang (ana yakin ramai pakar-pakar ada di dalamnya)

Ust Khairul Azmi Al-Muqry

Wednesday, October 14, 2009

KENALI SYAIKHUL QURRA' DI DUNIA ISLAM.

-ٍSyaikhul Qurra' Biladis Syam (Syria) : Syeikh Kurayyim Rajih

Syaikh Umum Al-Maqari Al-Misriyyah (Mesir): Dr Ahmad Al-Mi'shorowy



Di dalam kebanyakan negara-negara umat Islam wujudnya persatuan-persatuan ulama, dan tidak ketinggalan juga persatuan atau halaqat khusus bagi ulama-ulama yang berkecimpung di bidang qiraat, yang di anggotai oleh pakar-pakar qiraat di sesebuah negara. Berikut adalah senarai Syaikul Qurra iaitu seorang ulama yang di amanahkan mengetuai ulama' yang lain dan menjadi rujukan utama di bidang qiraat di dunia Islam.

  1. SYRIA: Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih.

  1. MESIR : Syeikh Dr Ahmad Al- Mi'shorowy

  1. YAMAN : Syeikh Yahya bin Ahmad Al-Hulaily

  1. MAURITANIA : Syeikh Shoddaf Muhammad Al-Basyir

  1. MOROCCO : Syeikh Dr At-Tihami Ar-Rajie

  1. BAHRAIN : Syeikh Muhammad Said Al-Afghani

  1. IRAQ : Syeikh Muhsin At-Thoruthi

  1. SUDAN : Syeikh Muhammad Abdul Karim.

Inilah yang saya dapat senaraikan setakat ini dan sebahagian Negara seperti Kuwait dan lain-lain tidak membuat perlantikan tersebut.

Wallahua'lam

Sunday, October 11, 2009

JAMUAN HARI RAYA PAS MARAN

Tuesday, October 6, 2009

KERETA F1 SATU MALAYSIA



Inilah 3 gambar yang ana dapat dlm internet ttg cadangan bentuk2 kereta f1 satu malaysia. Mungkinkah ia menjadi kenyataan. Jika anda dilantik menjadi pereka bentuknya yang manakah pilihan anda. Saya lebih berminat dengan gambar yang paling bawah sekali. he he he